SRI AMAN: Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman mengambil inisiatif menyumbangkan kanopi baharu kepada Klinik Kesihatan Sri Aman bagi menggantikan kanopi lama yang rosak, sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.
Sumbangan tersebut dilaksanakan susulan keprihatinan pertubuhan berkenaan terhadap keadaan kanopi lama yang tular di media sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselesaan pesakit yang menunggu rawatan.
Pengerusi merangkap Presiden Pertubuhan, Temenggong Kuek Aik Seng berkata, pihaknya bertindak pantas dengan kerjasama Biro Pemuda Pertubuhan untuk merangka pelan baik pulih dan melaksanakan penggantian kanopi setelah mendapat persetujuan pihak Klinik Kesihatan Sri Aman.
“Dalam tempoh satu minggu, pertubuhan telah berjaya menyumbang serta menggantikan kanvas kanopi baharu bagi memastikan pesakit dapat menunggu dalam keadaan yang lebih selesa, teratur dan selamat,” katanya dalam majlis penyerahan kanopi kepada klinik tersebut tersebut pada Selasa.
Majlis penyerahan ringkas telah disempurnakan oleh Temenggong Kuek Aik Seng kepada Pegawai Klinik Kesihatan Sri Aman, Dr Wong Jiat Yin.
Ia turut disaksikan oleh Residen Bahagian Sri Aman Mahra Saleh serta Ketua Seksyen Pembangunan Kesihatan Keluarga PKB Sri Aman, Dr Mirunaaleni Selvaraju.
Dalam pada itu, Mahra turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Sri Aman bagi meninjau keadaan kanopi baharu yang telah siap dipasang, di samping melihat sendiri pengurusan klinik serta kemudahan yang disediakan untuk pesakit dan kakitangan. -EDISI UKAS