KUCHING, 4 Jan: Sarawak yakin mampu menyediakan prasarana dan kemudahan terbaik untuk penganjuran Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia termasuk upacara pembukaan lebih meriah di Stadium Sarawak.
Malah menurutnya, aspek penginapan semua rombongan termasuk kontinjen bertanding dan pengunjung dirancang rapi sepanjang temasya sukan serantau itu berlangsung.
“Kemudahan penginapan seperti pangsapuri sewaan di sekitar kawasan Viva, Matang dan E-mart akan dimanfaatkan khususnya untuk penyokong dan ahli keluarga atlet yang hadir ke Sarawak sempena Sukan SEA.
“Kita membuat perkiraan dan mendapati kemudahan penginapan adalah mencukupi. Lokasi ini akan digunakan oleh penyokong dan ahli keluarga atlet yang datang menyaksikan kejohanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Renang Kumpulan Umur Sarawak ke-52 Tahun 2026 di Kuching, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim memaklumkan tender projek menaik taraf fasiliti sukan bagi Sukan SEA 2027 akan mula dianugerahkan bulan ini kepada kontraktor sama ada melalui proses tender terbuka, terpilih atau rundingan terus.
“Semua kerja naik taraf perlu disiapkan selewat-lewatnya sebelum Jun 2027 bagi memastikan persiapan rapi menjelang penganjuran Sukan SEA pada September 2027,” ujarnya.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM117 juta bagi pembangunan sukan pada 2026 termasuk RM73 juta untuk operasi Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Majlis Sukan Negeri (MSN) dan program pembangunan belia dan sukan.
Bersempena penganjuran Sukan SEA 2027, sebanyak 11 kemudahan sukan utama akan dinaik taraf termasuk Stadium Sarawak, Stadium Perpaduan, Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan beberapa padang dan pusat latihan lain.-TVS