News

 

Sarawak Raih Pengiktirafan Guinness World Records Penerbangan Dron Terpanjang

Posted on 05 Jan 2026
Source of News: TVS

KUCHING, 1 Jan: Sarawak mencatat sejarah apabila berjaya meraih pengiktirafan Guinness World Records  bagi kategori Longest Cumulative Distance by a Remote-Controlled Multirotor/Drone Relay sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Tebingan Kuching, pada 31 Disember lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), pencapaian bersejarah itu melibatkan perjalanan dron sejauh 1,706.7 kilometer merentasi Sarawak selama enam hari, bermula dari Tanjung Datu hingga Lawas, menggunakan dron berpenjejakan GPS secara berterusan tanpa putus.

STB memaklumkan, pengiktirafan rasmi itu diumumkan di pentas utama oleh wakil rasmi Guinness World Records dari Hong Kong, Jacob Yip Chong Wai, sebelum sijil rekod dunia disampaikan kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. Ia disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Menurut Abdul Karim, pencapaian itu melambangkan keyakinan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang progresif, bersatu dan berpandangan jauh ke hadapan.

“Rekod dunia Guinness ini mencerminkan identiti Sarawak hari ini yang berani meneroka inovasi, sambil kekal berteraskan budaya, rakyat dan landskap semula jadi.

“Sebagai Pintu Gerbang ke Borneo, pencapaian ini bukan sahaja milik Sarawak, malah rantau yang kita hubungkan serta masa depan yang sedang kita bina bersama,” katanya.

Kenyataan STB turut memaklumkan bahawa pengumuman rekod dunia itu disertai tayangan perdana filem dron bertajuk Gateway to Borneo, yang memaparkan keindahan landskap, budaya dan komuniti Sarawak dari perspektif udara.

Sambutan Countdown 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu menampilkan lebih 10 persembahan artis tempatan, nasional dan antarabangsa, sebelum diakhiri pertunjukan bunga api muzik tepat tengah malam.

Antara artis yang membuat persembahan ialah KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali dan Naqiu, selain persembahan tarian tradisional serta bakat kreatif tempatan Sarawak.

Sambutan diteruskan selepas tengah malam dengan persembahan khas penyanyi terkenal Indonesia, Judika, yang memeriahkan suasana hingga ke awal pagi.

Menurut STB, kejayaan penganjuran Countdown 2026 dan pencapaian rekod dunia Guinness itu bukan sahaja menjadi detik bersejarah buat Sarawak, malah meninggalkan legasi aset visual dan penceritaan global yang akan terus mempromosikan negeri ini sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya.

STB menegaskan, sambutan bersejarah itu sekali gus menandakan kesediaan Sarawak untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang relevan, kreatif dan berdaya saing di Asia.