KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan serta menyertai Persidangan dan Pameran Aeroangkasa Asia Pasifik (APACE) 2026 yang akan berlangsung dari 26 hingga 29 Januari ini.
APACE 2026 merupakan persidangan dan pameran berskala besar yang berfungsi sebagai platform serantau utama bagi perbincangan strategik, pertukaran ilmu serta penglibatan industri dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, persidangan berkenaan akan melibatkan penyertaan hampir semua kementerian di Sarawak.
“Semua kementerian yang berkaitan secara langsung dengan pembangunan industri aeroangkasa dan penerbangan akan menyertai persidangan ini.
“Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkukuh rantaian bakat tempatan dalam sektor berkenaan, selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang negeri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata persidangan tersebut dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat serta Kolej Universiti i-CATS, dengan sokongan Business Events Sarawak dan Borneo Business Connect.
“Tumpuan utama penganjuran adalah bagi membangunkan bakat tempatan dalam industri aeroangkasa dan penerbangan.
“Seperti yang semua maklum, Sarawak kini mempunyai syarikat penerbangan sendiri iaitu AirBorneo.
“Oleh itu, adalah penting untuk memastikan rakyat Sarawak dilengkapi kemahiran serta kepakaran yang relevan bagi menyokong dan menjamin kelangsungan industri ini,” katanya.