News

 

Cadangan koridor pelancongan fokus utama resolusi Forum Ekonomi DUN Lingga 2026

Posted on 14 Apr 2026
Source of News: Utusan Borneo Online

SRI AMAN: Cadangan mewujudkan Koridor Pelancongan Lingga-Sebuyau-Sri Aman sebagai ekosistem pelancongan bersepadu dan berdaya tahan menjadi fokus utama dalam resolusi yang dibentangkan pada penangguhan Forum Ekonomi DUN Lingga 2026.

Resolusi tersebut dibentangkan oleh ADUN Lingga  Dayang Noorazah Awang Sohor merangkap penasihat forum tersebut yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman di sini hari ini. 

"Pembangunan koridor tersebut dilihat sebagai pemangkin strategik dalam mentransformasikan DUN Lingga daripada sekadar kawasan laluan kepada sebuah destinasi pelancongan yang aktif dan berimpak tinggi kepada ekonomi setempat.

"Dengan peningkatan infrastruktur serta aksesibiliti yang semakin baik, kawasan Lingga kini mempunyai peluang besar untuk menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara," katanya. 

Antara cadangan utama ialah menjadikan kawasan tebingan sebagai nadi aktiviti pelancongan yang meriah serta mampu menarik kehadiran pelawat secara berterusan.

Di samping itu, acara ikonik seperti Regata Lingga dan Pesta Benak dicadangkan untuk diperkasa sebagai tarikan utama dalam kalendar pelancongan kawasan tersebut.

Potensi Gunung Lesong turut diketengahkan sebagai destinasi ekopelancongan yang berupaya menarik minat pelancong antarabangsa, sekali gus memperluas lagi penawaran produk pelancongan di koridor berkenaan.

Pada masa sama, kampung-kampung tradisional di sepanjang koridor itu dicadangkan untuk dijadikan sebagai pusat pelancongan komuniti bagi menawarkan pengalaman autentik kepada pengunjung.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan koridor pelancongan itu harus memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta pembangunan keusahawanan.

Selain pelancongan, resolusi yang dibentangkan turut merangkumi pembangunan sektor lain seperti industri halal, pertanian moden dan ekonomi digital bagi menyokong pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.

Langkah itu dilihat penting bagi memastikan pembangunan yang dirancang tidak bersifat terasing, sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain dalam satu ekosistem ekonomi yang mampan.

Dalam pada itu, aspek pembangunan modal insan turut diberi perhatian dengan cadangan memperkukuh latihan kemahiran agar tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan industri pelancongan dan sektor berkaitan.

Noorazah  turut menegaskan bahawa kejayaan Koridor Pelancongan Lingga-Sebuyau-Sri Aman bergantung kepada komitmen semua pihak dalam memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan memberi impak sebenar kepada kesejahteraan rakyat.