Berita

 

FORUM EKONOMI DUN LINGGA: PERTINGKAT POTENSI KAWASAN SETEMPAT

Disiarkan pada 14 Apr 2026
Sumber Berita: Berita RTM Sarawak

SRI AMAN, 11 April – Pelaksanaan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga adalah bertepatan dengan keperluan penduduk setempat.

Seiring dengan peredaran masa, Penasihat Pejabat Premier Sarawak, Datu Amar Jaul Samion mahu DUN Lingga maju seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).

Katanya, menerusi projek-projek pembangunan yang giat dilaksana, daerah Lingga berpotensi menjadi lokasi tumpuan pelancongan sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.

Ujar beliau, ia diyakini dengan adanya pembangunan jaringan seperti Jambatan Lingga serta Jambatan Batang Lupar 1 dan 2.

Selain itu katanya, ia juga dapat dilihat menerusi beberapa projek seperti projek Jalan Banting-Gunung Lesong-Engkeranji yang dijadual siap pada Julai 2027, bakal memberi manfaat dan memudahkan pergerakan penduduk sekitar.

Datu Amar Jaul berkata demikian dalam ucaptama Forum Ekonomi DUN Lingga anjuran Anak Perantau Simanggang dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Sri Aman.

Turut hadir, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh dan Pengerusi Anak Perantau Simanggang, Datu Kameri Affandi.

Bertemakan ‘Membina Ekonomi Lestari Dan Inklusif’, forum julung kali ini akan ditangguhkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, esok (Ahad).

Terdapat 5 sesi forum diadakan, yang mengupas pelbagai perkembangan sektor seperti pelancongan, industri halal, pertanian pintar dan moden serta bidang pendidikan.

Turut diadakan pameran melibatkan 24 agensi pempamer termasuk usahawan tempatan.