SRI AMAN, 27 Julai: Operasi pemadaman kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Lingga di sini, diteruskan hari ini selepas api yang marak sejak malam tadi masih belum berjaya dipadam sepenuhnya.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.02 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan kawasan tapak pelupusan sampah seluas kira-kira tiga ekar.
“Pasukan bomba membentangkan satu aliran hos sepanjang 300 kaki menggunakan dua nozel serta sebuah pam angkut yang mendapatkan sumber air daripada parit berhampiran bagi menjalankan operasi pemadaman,” kata kenyataan itu.
Kebakaran berjaya dikawal, namun belum dapat dipadam sepenuhnya berikutan keluasan kawasan yang terbakar, masih terdapat kepulan asap serta sumber air terbuka yang terhad di lokasi.
Sehingga kini, kira-kira dua ekar kawasan berjaya dipadamkan manakala baki satu ekar masih terbakar.
Operasi turut berdepan beberapa cabaran termasuk jalan utama ke Lingga yang masih dalam pembinaan, liputan komunikasi yang kurang memuaskan serta sumber air terbuka yang terhad.
Seramai tujuh anggota terlibat dalam operasi dengan menggunakan sebuah kenderaan Hilux dan sebuah Jentera EMRS. -TVS