Berita

 

JKR Sarawak senaraikan beberapa projek pembangunan di bawah One Month Pledge

Disiarkan pada 28 Jul 2026
Sumber Berita: Utusan borneo
KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menyenaraikan beberapa projek pembangunan di negeri ini di bawah inisiatif pencapaian hasil kerja dalam tempoh satu bulan pertama pelaksanaan atau One Month Pledge.
 
Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook jabatan itu berkata, inisiatif itu bertujuan memperkukuhkan tadbir urus projek serta memastikan komitmen awal kontraktor.
 
Beliau berkata antara projek yang disenaraikan di bawah inisiatif itu ialah naik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, cadangan pembinaan projek klinik kesihatan usang di bawah peruntukan RM50 juta di Sarawak - Klinik Kesihatan Kuala Lawas serta naik taraf infrastruktur bekalan elektrik (pemasangan sistem solar) di Klinik Kesihatan Long Semado, Lawas.
 
Turut disenaraikan di bawah inisiatif itu ialah projek menaik taraf dan pembaikan di Kompleks ICQS Tedungan, Limbang; pembinaan baharu Pejabat Pendidikan Daerah Kapit; pembinaan baharu Pejabat Daerah Sarikei; tender semula cadangan pembinaan Pos Baharu Kawalan Keselamatan Sempadan Darat oleh Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Raso, Lundu.
 
Bagi tujuan itu ujarnya, JKR Sarawak telah menganjurkan Sesi Menandatangani One Month Pledge Bil.8/2026 di sini baru-baru ini.
 
“JKR Sarawak akan memantau secara rapi pelaksanaan ikrar yang telah ditandatangani oleh para kontraktor bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan ditetapkan.
 
“Pelaksanaan One Month Pledge ini mencerminkan komitmen berterusan JKR Sarawak dalam meningkatkan kecekapan penyampaian projek, mengurangkan risiko kelewatan serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh Rakyat Sarawak,” ujarnya.