Berita

 

CENTEXS bakal atasi isu kekurangan juruukur tanah

Disiarkan pada 28 Jul 2026
Sumber Berita: Utusan borneo
LAWAS: Isu kekurangan juruukur tanah bakal diatasi melalui usaha melatih juruukur bertauliah di pusat latihan tempatan di Sarawak khususnya Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
 
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, beliau akan membincangkan perkara itu dengan pihak pengurusan CENTEXS.
 
Setakat ini katanya, Jabatan Tanah dan Survei bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Johor dalam bidang juruukur.
 
“Buat masa ini kita Jabatan Tanah dan Survei mempunyai kerjasama dengan UiTM di Johor untuk kursus-kursus penyukatan, nanti saya akan bincang dengan pengurusan CENTEXS kalau mereka dapat melihat dapat mengambil kira berhubung kursus-kursus sedemikian,” katanya.
 
Awang Tengah menyatakan demikian kepada media selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES di Stadium Tertutup Lawas, baru-baru ini.
 
Hadir sama ialah isteri beliau Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin dan para pegawai kanan Yayasan Sarawak.