Berita

 

Projek Pusat Hemodialisis Kabong dibincang, fokus pelaksanaan

Disiarkan pada 29 Jul 2026
Sumber Berita: TVS
 
BETONG, 29 Julai: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir mempengerusikan Mesyuarat Hala Tuju Projek Kabong Hemodialysis Centre (RF) di War Room Betong Division Development Agency (BDDA) di sini, bagi membincangkan perkembangan pelaksanaan projek berkenaan, semalam.
 
Menurut beliau,mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kedudukan kewangan projek, status proses tender, cadangan kaedah pelaksanaan serta tindakan susulan yang perlu diambil bagi memastikan projek Pusat Hemodialisis Kabong dapat direalisasikan demi kepentingan masyarakat.
 
“Antara perkara utama yang dipersetujui ialah menjadikan skop Projek Hemodialisis Spaoh sebagai rujukan bagi memastikan pelaksanaan projek lebih praktikal serta menepati peruntukan yang disediakan.
 
“Selain itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memaklumkan keputusan Mesyuarat Lembaga Tender kepada ADUN Kabong dan menyemak serta menyelaraskan semula reka bentuk projek agar bersesuaian dengan peruntukan serta skop kerja baharu,” katanya.
 
Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Khas Betong Division Development Agency (BDDA), Abang Mohamed Abang Turkey, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon, serta pegawai-pegawai teknikal dan urus setia berkaitan.
 
Projek Pusat Hemodialisis Kabong dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis secara berkala, sekali gus memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan DUN Kabong.-TVS