Berita

 

Projek RTP, BDDA perkasa pembangunan luar bandar

Disiarkan pada 30 Jul 2026
Sumber Berita: TVS
KABONG, 30 Julai: Pelaksanaan projek di bawah Rural Transformation Programme (RTP) dan Betong Division Development Agency (BDDA) mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih berkualiti, selamat dan memenuhi keperluan rakyat.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata,
inisiatif itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan awam, malah memperkukuh aspek pendidikan, keagamaan serta pembangunan komuniti.
 
Terdahulu, beliau menghadiri sesi Penyerahan Tapak dan Majlis Penyerahan Projek Siap bagi beberapa projek di bawah peruntukan RTP dan BDDA di kawasan DUN Kabong, semalam.
 
“Program tersebut melibatkan penyerahan tapak Projek Naik Taraf Pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Engkabang serta naik taraf jalan masuk utama sekolah, sekali gus menandakan permulaan rasmi pelaksanaan projek oleh kontraktor yang dilantik.
 
“Turut disempurnakan ialah Majlis Penyerahan Projek Siap Naik Taraf Dewan LAKIN di Nyabor, Kabong dan Projek Pembinaan Baharu Surau Pantai Tanjung Kembang yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
 
Majlis turut dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor yang dilantik serta penerima projek.-TVS