Berita

 

Pendidikan awal perlu diperkasa demi membentuk Generasi Alpha berkualiti

Disiarkan pada 30 Jul 2026
Sumber Berita: Utusan borneo
SRI AMAN: Pendidikan awal perlu terus diperkasakan sebagai asas dalam membentuk Generasi Alpha yang berilmu, berakhlak mulia, kreatif dan berdaya saing bagi mendepani cabaran masa depan, kata Ahli Parlimen Sri Aman Dato Sri Doris Sophia Brodi.
 
Beliau berkata, pembangunan kanak-kanak pada peringkat awal bukan lagi tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan secara menyeluruh yang melibatkan aspek intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
 
Katanya, pendekatan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menerusi kurikulum Tabika dan Taska KEMAS menjadi platform penting untuk mencungkil potensi serta membentuk sahsiah kanak-kanak sejak usia awal.
 
"Setiap kanak-kanak memiliki bakat dan potensi tersendiri yang perlu dipupuk serta diberi ruang untuk berkembang. 
 
"Pendidikan awal merupakan asas penting dalam membentuk keperibadian, nilai murni, disiplin, kreativiti dan keyakinan diri yang akan menjadi bekalan mereka pada masa hadapan," katanya.
 
 
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika KEMAS Alpha Gen Talents@KEMAS Peringkat Zon 2 Tahun 2026 di Dewan Suarah Sri Aman pada Selasa.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Bahagian Sri Aman selaku tuan rumah bersama jawatankuasa penganjur, guru, urus setia, hakim dan semua pihak yang menjayakan penganjuran program tersebut.
 
Katanya, kejayaan program berkenaan membuktikan bahawa semangat kerjasama, komitmen serta kesungguhan semua pihak mampu menghasilkan program berkualiti yang memberi impak besar terhadap pembangunan modal insan negara.
 
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua kontinjen Zon 2 yang terdiri daripada Parlimen Sri Aman, Serian, Lubok Antu, Batang Lupar, Batang Sadong dan Kota Samarahan atas semangat kesukanan serta kerjasama yang dipamerkan sepanjang pertandingan.