KUCHING: Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat terus mengukuhkan hubungan strategik menerusi Sidang Ke-39 Jawatankuasa Kerja (JKK) Sosio-Ekonomi Malaysia–Indonesia (SOSEK MALINDO) yang menyaksikan pelbagai persetujuan dicapai bagi memperkasa kerjasama rentas sempadan demi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pembangunan serantau.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel selaku Pengerusi SOSEK MALINDO Sarawak berkata, persidangan yang berlangsung di Pontianak itu menghimpunkan delegasi daripada kedua-dua wilayah untuk menilai pelaksanaan keputusan yang telah dipersetujui sebelum ini, selain merangka inisiatif baharu dalam sektor perdagangan, pelancongan, keselamatan, pendidikan, kebudayaan, belia dan sukan.
"Kerjasama yang terjalin menerusi SOSEK MALINDO bukan sahaja mempercepatkan pembangunan sosioekonomi kawasan sempadan, malah menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Malaysia dan Indonesia," katanya memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), hari ini.
Beliau berkata ketika menyempurnakan majlis penutupan Sidang Ke-39 JKK SOSEK MALINDO Peringkat Sarawak-Provinsi Kalimantan Barat di Pontianak, semalam.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua delegasi atas komitmen dan semangat kerjasama yang ditunjukkan sepanjang persidangan serta menyifatkan SOSEK MALINDO sebagai platform penting dalam memacu pembangunan mampan dan kemakmuran bersama di kawasan sempadan.
Antara persetujuan utama yang dicapai termasuk mempergiat usaha memudah cara perdagangan rentas sempadan melalui pengukuhan mekanisme komunikasi antara agensi berkaitan, menyelesaikan isu operasi secara lebih berkesan serta mempercepatkan proses kelulusan perdagangan.
Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang belia, sukan, pelancongan, kebudayaan dan pendidikan, perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kawasan sempadan terus terpelihara serta memudah cara pergerakan sah orang dan barangan.
Dalam usaha merancakkan sektor pelancongan, Sarawak dan Kalimantan Barat turut bersetuju menganjurkan semula Tour Malindo pada 2027, selain mengadakan Festival Perbatasan dan Festival Budaya secara bergilir di kedua-dua wilayah.
Persidangan itu juga mencapai persetujuan untuk melaksanakan promosi bersama destinasi pelancongan menerusi pertukaran Kalendar Acara, program lawatan suai kenal, sesi padanan perniagaan serta penggunaan platform digital dan pempengaruh bagi memperluaskan promosi pelancongan rentas sempadan.
Dalam aspek keselamatan dan pengurusan sempadan, kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kemudahan Kastam, Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), selain menyelaras pembangunan pos kawalan sempadan selaras dengan peruntukan Border Crossing Agreement Malaysia-Indonesia.