Berita

 

Swinburne Sarawak komited naik taraf, tambah kemudahan

Disiarkan pada 08 Sep 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO
 

KUCHING: Swinburne University of Technology Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) komited terus melaksanakan naik taraf dan menambah kemudahan di kampusnya bagi menampung kapasiti pengajaran susulan lonjakan jumlah pelajar selepas pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES).

Swinburne Sarawak menerusi kenyataan rasmi mereka hari ini berkata, universiti itu sedang melaksanakan naik taraf kampus bernilai RM50 juta pada 2024 dan terus menambah kemudahan termasuk Digital Design Hub, Business Simulation Lab, Entrepreneurship Hub serta makmal AI dan IoT.

“Universiti ingin memaklumkan perancangan menambah kapasiti akademik dan infrastruktur sedang dilaksanakan bagi memastikan pertumbuhan enrolmen berjalan seiring dengan kualiti pendidikan serta pengalaman pelajar.

“Peningkatan enrolmen telah dijangka dan sedang ditangani menerusi perancangan kapasiti serta pelaburan berterusan dalam kemudahan pengajaran, tenaga akademik, infrastruktur dan sokongan pelajar,” katanya.

Swinburne Sarawak tampil menyatakan perkara berkenaan susulan daripada kebimbangan berhubung kapasiti pengajaran susulan lonjakan jumlah pelajar selepas pelaksanaan FTES di universiti itu.

Menurut Swinburne Sarawak, enromen ke universiti berkenaan telah melonjak 44 peratus kepada 6,484 pelajar tahun ini, susulan kemasukan 2,100 pelajar baharu di bawah FTES.

Katanya, jumlah itu meningkat daripada 4,504 pelajar pada 2025 dan 3,749 pada 2024, sekali gus mencerminkan peningkatan mendadak kemasukan pelajar dalam tempoh dua tahun.

Swinburne Sarawak bagaimanapun menegaskan pertumbuhan berkenaan telah dijangka dan sedang diurus menerusi perancangan kapasiti serta pelaburan berterusan dalam kemudahan pengajaran, tenaga akademik, infrastruktur dan sokongan pelajar.

“Seramai 2,100 pelajar baharu FTES tahun ini merangkumi kira-kira 32 peratus daripada keseluruhan populasi pelajarnya, manakala sekitar 1,000 pelajar dijangka bergraduasi tahun ini,” tegasnya.

Swinburne Sarawak menjelaskan jumlah enrolmen program tidak menggambarkan semua pelajar diajar dalam satu kelas, sebaliknya kumpulan besar diurus melalui pembahagian kuliah dan tutorial serta penjadualan bersesuaian.

Universiti itu turut menegaskan penggunaan pembelajaran hibrid bukan disebabkan kekurangan kapasiti fizikal atau diperkenalkan susulan pelaksanaan FTES.

“Sebaliknya, pendekatan menggabungkan pembelajaran bersemuka dan dalam talian itu telah digunakan sejak 2022 sebagai sebahagian daripada kaedah pengajaran universiti.

“Kelas bersemuka, sesi amali, aktiviti makmal dan pembelajaran berasaskan kampus juga terus dilaksanakan, dengan kemudahan digital digunakan sebagai pelengkap,” katanya

Swinburne Sarawak menegaskan semua programnya tertakluk kepada kerangka kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), selain terus memperkukuh tenaga akademik dan kapasiti pengajaran.