Berita

 

Perkukuhkan tahap keselamatan penerbangan FDS: Lee

Disiarkan pada 10 Sep 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO

MIRI: Tragedi helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang perlu menjadi titik perubahan ke arah memperkukuh tahap keselamatan penerbangan perkhidmatan berkenaan, tanpa menjejaskan kesinambungannya sebagai talian hayat penjagaan kesihatan masyarakat pedalaman Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, nahas yang meragut nyawa seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu sewajarnya membawa kepada penelitian lebih menyeluruh terhadap langkah perlindungan keselamatan penerbangan melibatkan operasi FDS.

Menurutnya, FDS merupakan perkhidmatan kritikal kepada banyak komuniti luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada akses udara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan penting.

“Perkhidmatan Doktor Udara merupakan talian hayat yang amat penting kepada kebanyakan masyarakat luar bandar dan pedalaman kita.

“Petugas perubatan dan kru penerbangan yang terlibat sedang melaksanakan satu perkhidmatan awam yang amat penting dan dedikasi serta pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, kesinambungan operasi FDS juga perlu diberi perhatian utama memandangkan ramai penduduk di kawasan pedalaman Sarawak bergantung kepada akses udara bagi mendapatkan penjagaan kesihatan.

“Kita mesti memastikan hubungan kepada perkhidmatan kesihatan penting untuk masyarakat pedalaman terus terjamin sementara pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan dan kajian keselamatan yang diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) yang selama ini bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam meningkatkan kesedaran keselamatan penerbangan akan meneliti usaha memperluaskan inisiatif berkenaan.

Menurutnya, program kesedaran keselamatan itu boleh diperluaskan kepada doktor, jururawat dan petugas perubatan lain yang kerap menggunakan helikopter atau pesawat kecil untuk menjalankan tugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Keselamatan penerbangan bukan hanya melibatkan juruterbang, pengendali dan pesawat.

“Ia juga perlu merangkumi penumpang serta petugas yang bergantung kepada penerbangan untuk melaksanakan perkhidmatan awam penting,” tegasnya.

Pada masa sama, Lee menegaskan punca nahas berkenaan perlu dikenal pasti oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kejadian sementara siasatan rasmi masih dijalankan.

“Fokus kita mestilah kepada usaha mengambil iktibar daripada tragedi ini, memperkukuh sistem di mana perlu dan memastikan mereka yang berkhidmat untuk masyarakat pedalaman dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang paling selamat,” katanya.

Mengulas perkembangan selepas kejadian, Lee berkata beliau tiba di Miri dari Kuching kira-kira jam 8.20 malam tadi dan terus menuju ke Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lapangan Terbang Miri.

Beliau kemudian menghadiri taklimat dan mesyuarat penyelarasan berhubung insiden itu, termasuk membincangkan urusan pengangkutan serta logistik bagi operasi berkenaan.

Selepas mesyuarat tersebut, Lee turut bertemu sendiri dengan ahli keluarga mereka yang berada di dalam helikopter berkenaan bagi memaklumkan perkembangan terkini serta pengaturan operasi kepada mereka.

“Dalam keadaan penuh ketidakpastian dan kesedihan seperti ini, adalah penting untuk keluarga mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian serta akan terus diberikan maklumat dan sokongan,” katanya.

Lee turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang dan empat petugas KKM yang kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas FDS untuk masyarakat pedalaman Sarawak.

Beliau berkata, pengorbanan kesemua mereka dalam membawa perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan yang sukar diakses tidak seharusnya dilupakan.

“Ingatan dan doa saya sentiasa bersama keluarga mereka dalam menghadapi saat yang amat menyakitkan dan sukar ini.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menempuh hari-hari mendatang,” katanya.