News

 

Sarikei catat IPU tertinggi di Sarawak setakat 8 pagi

Posted on 10 Sep 2026
Source of News: Utusan borneo

KUCHING: Sebahagian besar kawasan di Sarawak terus merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat dengan Sarikei mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 194 setakat jam 8 pagi hari ini.

Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarikei merekodkan bacaan tertinggi iaitu 194, diikuti Serian (188), Samarahan (181) dan Kuching (173).

Turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat ialah Samalaju dengan 164, diikuti Sri Aman (158), Sibu (155), Mukah (153) dan Bintulu (106).

Sementara itu, bacaan pada tahap sederhana direkodkan di ILP Miri (90), Kapit (79), Miri (75) dan Limbang (62).

Menurut JAS, bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, manakala bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana.

Bacaan antara 101 hingga 200 pula berada pada tahap tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.