KUCHING: Sarawak membuka ruang kerjasama dengan syarikat Amerika Syarikat (AS) dalam bidang teknologi, kelestarian, penyelidikan, inovasi dan tanggungjawab sosial korporat.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan sektor pengangkutan Sarawak kini bukan sahaja bergantung kepada penyediaan infrastruktur fizikal, malah semakin disokong teknologi, inovasi, kelestarian dan pendigitalan.
Katanya, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan delegasi US-ASEAN Business Council yang terdiri daripada wakil beberapa syarikat AS di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.
“Dalam pertemuan itu, saya berkongsi perkembangan terkini sektor pengangkutan Sarawak dan membincangkan kemungkinan kerjasama dalam bidang teknologi, kelestarian, penyelidikan, inovasi dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Lee berkata, beliau turut memberi taklimat mengenai usaha berterusan Sarawak untuk memperkukuh kesalinghubungan dan memodenkan sistem pengangkutan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Antara perkembangan yang dikongsikan ialah AirBorneo dan usaha memperkukuh kesalinghubungan udara domestik serta serantau, selain rancangan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang bagi memenuhi keperluan pertumbuhan pada masa depan.
“Saya juga berkongsi perkembangan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dan Autonomous Rapid Transit (ART) yang menjadi sebahagian daripada usaha Sarawak membangunkan sistem pengangkutan awam lebih moden dan mampan,” katanya.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu, perluasan dan naik taraf Lapangan Terbang Miri serta lapangan terbang lain di Sarawak.
Penambahbaikan infrastruktur logistik dan pengangkutan barangan turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.
Antara syarikat AS yang diwakili pada pertemuan itu ialah Bitdeer, Thermo Fisher Scientific, Philip Morris dan Coca-Cola.
Syarikat berkenaan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk semikonduktor dan pembangunan pusat data, sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan, kelestarian alam sekitar serta tanggungjawab sosial korporat.
Sehubungan itu, Lee mengalu-alukan minat syarikat berkenaan terhadap pembangunan Sarawak serta pertukaran pandangan mengenai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan peranan US-ASEAN Business Council dalam menghubungkan syarikat AS dengan Sarawak dan memudah cara perbincangan mengenai potensi kerjasama.