KUCHING: Bekas angkasawan Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA) dan pemegang dua Rekod Dunia Guinness, Dr Soichi Noguchi antara tokoh antarabangsa dalam bidang aeroangkasa yang bakal menjadikan tarikan utama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2026 (IDECS26).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata IDECS26 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 5 dan 6 Oktober depan turut menampilkan beberapa tokoh antarabangsa dalam bidang lain termasuk kecerdasan buatan (AI), bandar masa depan dan penyelidikan.
Selain Soici, antara yang dijemput ialah Pengasas dan Principal Pomeroy Studio serta Felo CISL Profesor Jason Pomeroy, Scientific Futurist, penulis terlaris dan Australian Business Woman of the Year Dr Catherine Ball, Pengasas AI Her Way dan Ethical AI Strategist Dr Nici Sweaney serta Profesor di Hong Kong University of Science and Technology (HKUST) dan Distinguished Research Scholar di ICSI Berkeley De Kai.
“Kehadiran tokoh berprofil tinggi itu mencerminkan skop perbincangan IDECS26 yang semakin luas, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk berada di barisan hadapan teknologi.
“Perspektif mereka merangkumi bidang angkasa, AI bertanggungjawab dan pengkomersialan penyelidikan, mencerminkan keluasan perbincangan yang kita bawa bersama pada IDECS26,” ujarnya pada sidang media mengenai IDECS26 yang dihadiri Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani di Wisma PELITA di sini, hari ini.
IDECS26 edisi kesembilan itu bertemakan ‘Scaling Innovation Ecosystems for a Borderless Economy: Earth, Orbit and Beyond’, dengan tumpuan kepada bagaimana teknologi dan inovasi dapat diterjemahkan kepada keupayaan sebenar serta nilai ekonomi.
Julaihi berkata, persidangan tahun ini memberi penekanan kepada AI, pembangunan bakat digital dan bandar masa depan, selain memperkenalkan dua bidang baharu iaitu inovasi semikonduktor dan ekonomi angkasa.
Menurutnya, IDECS26 dijangka menarik lebih 20,000 peserta dari lebih 30 negara, selain menampilkan lebih 100 penceramah dan lebih 100 pameran.
“Matlamatnya adalah membawa kepakaran global, pelaburan, perkongsian serta pasaran ke Sarawak dan pada masa sama, membuka laluan kepada bakat dan perniagaan tempatan untuk berkembang di peringkat serantau dan global,” katanya.
Julaihi berkata, Sarawak juga perlu melihat melangkaui sempadannya susulan integrasi ASEAN yang semakin berkembang termasuk membuka lebih banyak laluan kepada syarikat, idea, penyelidikan dan bakat tempatan untuk menembusi pasaran Malaysia,ASEAN serta antarabangsa.
Julaihi berkata, persidangan itu bukan sekadar membincangkan hala tuju teknologi berkenaan, sebaliknya meneliti bagaimana keupayaan sebenar dapat dibangunkan, menarik pelaburan serta teknologi diterjemahkan kepada nilai ekonomi.
Perbincangan akan berlangsung menerusi lima acara utama iaitu The Future; Future Cities; Startup Village; SHE-TECH Asia Forum dan Centre of Excellence for Digital Research Conference.
IDECS26 dianjurkan bersama oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Information Systems (SAINS).