Berita

 

Sarawak perluas jaringan strategik antarabangsa, perkukuh agenda tenaga

Disiarkan pada 14 Sep 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO

KUCHING: Sarawak terus memperluas jaringan strategik antarabangsa dan memperkukuh agenda pembangunan sektor tenaga menerusi penglibatan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam siri pertemuan serta dialog peringkat tinggi di Bangkok, Thailand.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), agenda lawatan kerja Premier Sarawak hari ini dimulakan dengan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited, Aloke Lohia di The Ritz-Carlton Hotel.

Pertemuan tersebut menjadi antara agenda penting dalam lawatan berkenaan, khususnya dalam memperluas jaringan Sarawak dengan pemain industri dan sektor korporat antarabangsa.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni bersama delegasi kerajaan negeri.

Abang Johari berjabat tangan dengan pengurusan tertinggi Indorama Ventures Public Company Limited di Bangkok. - Gambar UKAS
Abang Johari berjabat tangan dengan pengurusan tertinggi Indorama Ventures Public Company Limited di Bangkok. - Gambar UKAS

Pada sebelah petang, Abang Johari dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri secara tertutup sebelum meneruskan agenda dengan Sesi Dialog Tenaga bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’.

Beliau kemudiannya akan menyertai sesi bual bicara secara santai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC).

Sesi itu dijangka menjadi platform untuk mengetengahkan perspektif Sarawak mengenai masa depan industri tenaga, pertumbuhan ekonomi, peralihan tenaga serta usaha penyahkarbonan.

Penyertaan Sarawak dalam GASTECH 2026 turut membuka ruang untuk memperluas kerjasama dan jaringan strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan serta pemain utama industri tenaga global, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak dalam perkembangan sektor tenaga di peringkat antarabangsa.