KUCHING: Polis Sarawak sedang mempertimbang untuk memberi lebih ruang kepada ketua jabatan dalam pasukan itu tampil di media bagi meningkatkan keterlihatan mereka, selain membantu masyarakat memahami fungsi dan tanggungjawab setiap jabatan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, langkah itu penting bagi membolehkan masyarakat lebih mengenali peranan setiap jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sarawak.
“Kalau boleh, setiap hari ada berita berkaitan kejayaan yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) dan pasukan polis di Sarawak supaya masyarakat tahu apa yang kita lakukan setiap hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Santai Bersama Media di sini, malam Ahad.
Sehubungan itu, Mohamad Zainal menggalakkan pengamal media terus berhubung dengan KPD bagi mendapatkan maklumat berkaitan isu keselamatan dan perkembangan kes untuk dikongsikan kepada masyarakat.
“Jika ada masalah untuk mendapatkan maklumat daripada KPD, beritahu saya... saya mahu kerjasama yang baik ini diteruskan,” katanya.
"Jika ada masalah untuk mendapatkan maklumat daripada KPD, beritahu saya...saya mahu kerjasama yang baik ini diteruskan," katanya.
Beliau berkata kerjasama erat antara polis dan media penting bagi memastikan maklumat berkaitan keselamatan serta kejayaan operasi pasukan itu dapat disampaikan kepada masyarakat dengan berkesan.
“Terima kasih atas segala kerjasama tuan-tuan dan puan-puan dalam melaporkan berita, menyampaikan maklumat dan sebagainya bagi memudahkan urusan penyampaian antara polis dengan masyarakat secara umumnya,” katanya.
Mohamad Zainal turut menghargai peranan media tempatan yang sentiasa membuat liputan mengenai kes dan operasi polis di seluruh Sarawak.
Beliau berkata kerjasama berterusan antara media dengan KPD perlu diperkukuh bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang tepat mengenai usaha dan pencapaian pasukan polis.