KUCHING: Persiapan Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berada pada tahap terbaik selepas raptai penuh yang berlangsung pada Ahad berjalan lancar.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), raptai berkenaan melibatkan pelbagai pihak, termasuk pasukan teknikal, keselamatan dan peserta persembahan bagi memastikan setiap aspek sambutan yang dijadualkan berlangsung pada 16 September ini dapat dilaksanakan dengan teratur.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Malaysia 2026 Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut hadir menyaksikan perjalanan raptai penuh tersebut.
Sepanjang raptai, aspek koordinasi acara, susunan protokol dan persembahan pentas diteliti bagi memastikan kelancaran perjalanan majlis pada hari sambutan.
Kelancaran raptai turut mencerminkan tahap kesiapsiagaan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan berkenaan.
Sambutan Hari Malaysia 2026 dijadual berlangsung pada 16 September di BCCK dengan pelbagai pengisian yang bakal menampilkan semangat perpaduan serta kepelbagaian budaya Malaysia.