Berita

 

Abang Johari tiba di Bangkok hadiri GASTECH 2026

Disiarkan pada 14 Sep 2026
Sumber Berita: UTUSAN BORNEO

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Bangkok, Thailand pada Ahad bagi menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri sempena GASTECH 2026 yang berlangsung hari ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), beliau tiba di tempat penginapan kira-kira jam 5.10 petang waktu tempatan, diiringi Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Program rasmi Premier Sarawak hari ini dimulakan dengan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited, Aloke Lohia di The Ritz-Carlton, Bangkok.

Pertemuan itu dijangka menjadi platform untuk memperluas jaringan serta meneroka potensi kerjasama antara Sarawak dengan pemain industri dan korporat antarabangsa.

Pada sebelah petang, Abang Johari dijadual menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Menteri secara tertutup, diikuti sesi Dialog Tenaga bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’.

Beliau kemudiannya akan menyertai sesi bual bicara secara santai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC) yang memberi peluang untuk mengetengahkan pandangan Sarawak mengenai masa depan industri tenaga, pertumbuhan ekonomi, peralihan tenaga dan usaha penyahkarbonan.

Penyertaan dalam GASTECH 2026 turut memberi peluang kepada delegasi Sarawak memperkukuh jaringan strategik dengan pihak berkepentingan dan pemain utama dalam industri tenaga global.

Premier Sarawak dijadual berlepas pulang ke ibu negeri pada petang ini.